Thursday, October 15, 2009

Masjid Jamek Batu Uban,Pulau Pinang

1.0 PENGENALAN

Dalam projek bagi kursus PGT224 ini kami telah ditugaskan untuk mencari sebuah bangunan bersejarah dan mengkaji sejarah bangunan tersebut serta mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi melestarikan bangunan tersebut. Kumpulan kami telah bersetuju memilih Masjid Jamek Batu Uban yang terletak berhampiran dengan Universiti Sains Malaysia sebagai bangunan bersejarah tersebut. Bangunan ini telah melebihi 100 tahun dan ini bersesuaian dengan kriteria yang telah ditetapkan iaitu bangunan yang dikaji mestilah melebihi 100 tahun. Kami akan membincangkan berkaitan sejarah masjid Jamek Batu Uban dan pendekatan yang digunakan dalam melestarikan masjid tersebut selaras dengan konsep Universiti Sains Malaysia yang menekankan pelestarian. Pelestarian masjid bukan berfokuskan kepada melestarikan dari segi fizikal masjid itu sahaja tetapi aspek pelestarian nilai dan manfaat masjid itu sendiri yang paling penting untuk keutuhan umat islam.

Malaysia merupakan sebuah negara yang pesat membangun dengan bangunan tinggi, pusat membeli-belah yang moden, kawasan perumahan yang serba lengkap dan jalinan jalan raya yang bertingkat terutama sekali di sekitar bandaraya Pulau Pinang. Namun begitu, di celah-celah arus pembangunan yang pesat ini terdapatnya bangunan yang penuh dengan kesan sejarah yang menarik di samping reka bentuk seni bina yang unik yang merupakan warisan peninggalan sejarah yang boleh diabadikan untuk generasi yang akan datang. Sehubungan dengan itu, bangunan warisan ini sewajarnya dipulihara dengan baik oleh semua pihak yang bertanggungjawab baik dari pihak kerajaan mahupun masyarakat dan orang perseorangan. Sekiranya usaha pemuliharaan seumpama ini tidak dilakukan dari sekarang, nescaya pada masa yang akan datang generasi yang baru pastinya akan lupa dan tidak tahu akan sejarah sosio budaya nenek moyang mereka yang terdahulu.

Kami juga berharap akan ada lagi kajian yang dilakukan terhadap masjid ini agar usaha mengimarahkan masjid sebagai institusi sosial terus berkekalan dan berterusan pada masa akan datang.

2.0 OBJEKTIF

Objektif projek ini adalah bertujuan untuk mengetahui lebih lanjut tentang bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia. Kebanyakan individu hanya mengenal tempat-tempat yang bersejarah yang terkenal seperti Kota A Famosa, Kellie’s Castle, Telaga Hang Tuah, Makam Mahsuri dan sebagainya lagi. Namun, tidak ramai yang tahu mengenai sejarah di sebalik Masjid Jamek Batu Uban yang merupakan masjid terawal di Pulau Pinang.

Melalui bangunan bersejarah yang ada di Malaysia, kita seharusnya berbangga terhadap warisan yang telah ditinggalkan oleh nenek moyang kita pada suatu ketika dahulu. Melalui projek ini, kita boleh menerapkan rasa bangga tersebut dengan mengumpul dan menyimpan maklumat berkaitan bangunan bersejarah supaya dapat memberikan kesedaran kepada generasi muda agar menyedari bahawa bangunan bersejarah mempunyai nilai yang tinggi.

Selain daripada itu, projek ini juga bertujuan untuk mewujudkan semangat cinta akan warisan negara supaya kita sama-sama dapat memelihara warisan ini supaya dapat dikekalkan menjadi kebanggan rakyat. Melalui warisan yang ditinggalkan, kita tidak akan lupa asal-usul bangsa kita dan ini boleh dijadikan sebagai pengajaran agar negara kita tidak akan dijajah lagi pada masa yang akan datang.

Secara tidak langsung melalui projek ini, kami sebagai guru Sejarah dapat belajar bagaimana untuk menguasai teknik membuat kajian sejarah agar dapat diterapkan ilmu tersebut kepada bakal-bakal pelajar kami. Kami juga dapat mempelajari metodologi-metodologi yang biasa digunakan oleh sejarawan untuk mengutip dan mengumpul maklumat sejarah daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai.

3.0 METODOLOGI

Bagi mencapai objektif dalam projek yang telah pun dikenalpasti, terdapat beberapa metodologi yang telah digunakan. Antaranya ialah menjalankan tinjauan awal, pemerhatian, temu bual, dan kami juga turut mendapatkan sumber tambahan dari Internet.

Untuk mengetahui sama ada Masjid Jamek Batu Uban telah mencapai usia 100 tahun, kaedah tinjauan awal telah dilakukan terlebih dahulu. Kaedah ini juga bertujuan untuk memastikan sama ada kami boleh mendapat sumber pertama yang boleh memberikan maklumat yang asli kepada kami. Hasil daripada tinjauan awal, kami berjumpa dengan sumber pertama iaitu Pak Sheikh Abdul Aziz yang merupakan penjaga Masjid Jamek Batu Uban. Apa yang menariknya beliau juga merupakan cucu kepada Nenek Kalsom yang merupakan generasi kelima keturunan Nakhoda Nan Intan iaitu pengasas awal Masjid Jamek Batu Uban.

Kaedah pemerhatian juga telah dilakukan terhadap kawasan persekitaran dan juga seni bina Masjid Jamek Batu Uban. Berdasarkan maklumat dari pemerhatian kami, terdapat tembok berbentuk segi empat menyerong yang dibina di tepi masjid dan di sebelah tembok pula terdapat pohon asam jawa. Pada bahagian tengah tembok, terdapat satu telaga yang digunakan untuk para jemaah mengambil wuduk. Terdapat kolam berhampiran masjid tersebut, namun setelah pembinaan semula masjid, kolam tersebut terletak di bawah masjid. Di bahagian tengah masjid, terdapat empat tiang utama yang dikatakan adalah dari pohon cendana. Di atas masjid iaitu bersebelahan masjid, terdapat tanah perkuburan iaitu kubur Sheikh Ahmad dan keturunannya.

Melalui kaedah temu bual, kami menjalankan kaedah tersebut dengan Nenek Kalsom yang merupakan generasi kelima keturunan Nakhoda Nan Intan dan anaknya Sheikh Abdul Aziz yang merupakan penjaga Masjid Jamek Batu Uban. Kami menemu bual Nenek Kalsom bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai asal-usul Masjid Jamek Batu Uban. Nenek Kalsom juga telah menunjukkan kepada kami dokumen-dokumen berkenaan Masjid Jamek Batu Uban. Menurut Nenek Kalsom, Masjid Batu Uban telah diasaskan oleh Tuan Haji Mohammad Saleh yang digelar Nakhoda Nan Intan pada tahun 1734. Nama sebenar beliau ialah Maharaja Nan Intan Ibni Al-Marhum Tengku Patih Nan Sebatang. Beliau berhijrah dari Minangkabau. Nek Som memaklumkan kepada kami bahawa Nakhoda Nan Intan berasal dari Kampung Buadi, Paya Kumboh, Pagar Ruyung, Sumatera. Nakhoda Nan Intan telah datang ke Pulau Pinang bersama dua bahtera lagi. Nakhoda Nan Intan singgah di Batu Uban, satu lagi bahtera singgah di Bayan Lepas (Nakhoda Bayan) dan bahtera ketiga singgah di Jelutong (Nakhoda Kecil).

Selain daripada ketiga-tiga kaedah yang dijalankan di atas, kami turut mendapatkan sumber tambahan dari Internet mengenai sejarah Masjid Jamek Batu Uban. Menurut salah sebuah blog yang terdapat di Internet, Tuan Haji Mohammad Saleh yang digelar Nakhoda Nan Intan merupakan orang pertama yang membuka Pulau Pinang dan bukannya Francis Light yang di katakan membuka Pulau Pinang pada tahun 1786. Jeti kayu yang di bina berhampiran masjid menjadi tempat persinggahan kepada pedagang-pedagang, pengembara dan mubaligh Islam yang datang dari India, Pakistan dan Timur Tengah pada ketika itu. Pedagang-pedagang dan mubaligh Islam mengambil kesempatan untuk berniaga dan berdakwah di situ. Batu Uban dahulunya dikenali sebagai Oban, Ooban dan Batu Oban yang mengambil nama sempena sebuah batu besar yang menyerupai kepala manusia yang penuh beruban dan terletak di tengah laut antara masjid dan Pulau Jerjak. Namun, kini batu itu tidak kelihatan lagi kerana di tambak untuk pembangunan.

4.0 SEJARAH PERKEMBANGAN MASJID BATU UBAN, PULAU PINANG

Penempatan masyarakat Islam di Pulau Pinang sebenarnya lebih awal dari kedatangan Francis Light yang dikatakan membuka negeri ini pada tahun 1786. Secara umumnya, bangunan surau asal ini telah dibina pada tahun 1734 oleh Tuan Haji Mohammed Salleh atau dikenali sebagai Nakhoda Intan yang telah membuka penempatan awal di Kampung Batu Uban. Beliau dan pengikut-pengikutnya adalah berasal dari Kampung Buadi, Paya Kumbu, Sumatera. Nama Batu Uban tercatat dalam sejarah sebagai Oban, Ooban dan Batoo Oban yang mengambil sempena dengan sebuah batu besar yang menyerupai kepala manusia yang penuh beruban dan terletak di tengah laut di antara Masjid dengan Pulau Jerejak (Pejabat Warisan UNESCO, 2009).

Gambaran Pelukis mengenai Masjid Batu Uban semasa mula-mula siap dibina (Sumber: En Aziz dan Muzium Pulau Pinang)

D:\AZAHARI'S FOLDER\azahari\Copy of DSCN2366.JPG

Masjid Jamek Batu Uban ini menggantikan surau bagi menampung penambahan jemaah. Bentuk asalnya berupa segi empat sama dan dibina menggunakan kayu sementara dindingnya menggunakan batuan. Bahagian asal masjid ini yang masih kekal ialah empat batang tiang seri berbentuk segi empat di tengah masjid dan puncak kubah masjid. Selain itu, kolam tempat mengambil wuduk dan perigi masjid yang masih digunakan sehingga kini merupakan binaan asal masjid ini.

Riwayat bermula Haji Mohd Salleh Minangkabau yang bergelar Nakhoda Nan Intan datang dari Indonesia. Nama penuh beliau ialah Nakhoda Intan Ibnu Al-Marhum Nan Tengku Patis Batang tetapi di kampung beliau lebih dikenali dengan nama keramat Haji Mohd Salleh. Haji Mohd Salleh Batang bersama-sama tiga saudara sepupu iaitu Nakhoda Bayan yang membuka Bayan Lepas, Nakhoda Intan yang membuka Batu Uban dan Nakhoda Kecil yang membuka Jelutong (Temubual bersama responden, Ogos 2009).

Kisah sejarah menceritakan Haji Mohd Salleh datang bersama-sama dengan keluarganya dan pengikut-pemgikutnya datang ke kampung yang pada ketika itu tidak mempunyai nama dengan menaiki sebuah bahtera. Tarikh beliau beserta dengan rombongan beliau tidak dapat diketahui dengan tepat. Sepertimana yang diceritakan, tujuan asal beliau singgah ke kampung ini ialah untuk mencari belakan air bagi menampung keperluan pelayaran mereka.

Penceritaan bermula apabila air tidak didapati di kawasan lain, maka beliau dan kaum keluarganya beserta lain-lain pengikutnya telah menggali perigi di tepi daratan (Perigi Batu). Sambil itu, beliau membina tempat untuk berteduh sementara dengan menggunakan kayu-kayan dari hutan yang terdapat di situ. Memandangkan keadaan di situ amat sesuai untuk dijadikan sebagai tempat tinggal, beliau mengambil keputusan untuk terus menetap di situ bersama-sama kaum keluarganya dan pengikutnya. Langsungan daripada peristiwa tersebut, beliau telah membina Masjid Batu Uban pada tahun 1734 Masihi dengan menggunakan kayu-kayan yang diambil dari hutan berdekatan dengan kampung ini dan di Pulau Jerejak. Sepertimana yang dapat kita lihat sehingga ke hari, perigi yang digali dahulu masih digunakan lagi yang dipanggil Telaga Batu oleh penduduk tempatan di perkampungan Batu Uban. Selain membina perigi tersebut, beliau juga telah membina sebuah kolam di tepi masjid untuk kegunaan para jemaah mengambil wuduk sebagai tujuan menunaikan solat. Akan tetapi, pada masa kini, kolam dan pintu masuk ke masjid ini telah diubah suai. Sepertimana gambar di bawah:

Setelah menetap di kampung ini, Haji Mohd Salleh telah meluaskan kawasannya sehinggalah ke kawasan yang pada masa kini dimiliki oleh penduduk Cina dan hanya sebilangan kelompok tanah dimiliki oleh orang Melayu. Perkara sedemikian berlaku adalah disebabkan oleh Cucu kepada Haji Mohd Salleh yang bernama Shaikh Mohd Salleh telah membuat sandaran tanah-tanah milik datuknya iaitu Haji Mohd Salleh kepada Tuan Brown kerana mengalami kesempitan wang. Oleh yang demikian, tanah yang tinggal hanyalah tanah di belakang masjid yang dibahagikan kepada dua Lot iaitu Lot 156 yang diwakafkan kepada masjid dan Lot 155 disimpan untuk anak, cucu serta keturunan yang masih menjadi milik Shaikh Mohd Salleh (lihat lampiran).

Mengikut sejarah, Haji Mohd Salleh mempunyai seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki yang bernama Mohd Ali. Telah diriwayatkan bahawa beliau juga mempunyai beberapa orang anak lagi, walau bagaimanapun nama-nama mereka tidak diketahui dengan jelas dan jumlahnya tidak dikenalpasti dengan tepat. Haji Mohd Salleh telah menjodohkan anaknya dengan seorang saudagar berbangsa Arab yang datang dari Mekah (Tanah Arab) yang bernama Shaikh Ahmad Al-Makawi. Hasil dari perkongsian hidup anak perempuan Haji Mohd Salleh dengan Shaikh Ahmad Makawi telah dikurniakan beberapa orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Anak lelaki tersebut dinamakan sebagai Shaikh Mohd Salleh. Memandangkan anak lelaki Haji Mohd Salleh iaitu Md. Ali telah diberi panggu tanahnya di tempat lain yang berdekatan, maka Haji Mohd Salleh telah memindahkan hak milik tanahnya di Kampung Batu Uban ini kepada cucu beliau yang bernama Shaikh Mohd Salleh.

Mengikut penceritaan daripada orang-orang lama di kampung ini, pada masa dahulu Batu Uban menjadi persinggahan para pedagang, pengembara serta mubaligh Islam dari India, Pakistan dan Timur Tengah pada ketika itu. Jelas di sini bahawa dapatlah dikatakan bahawa masjid ini menjadi warisan sejarah dan buki kewujudan masyarakat Islam di Pulau Pinang sebelum kedatangan Francis Light lagi. Masjid Jamek Batu Uban ini juga telah diwartakan sebagai salah satu harta warisan sejarah negeri Pulau Pinang yang telah diberikan hak ekskusif sebagai Tapak Warisan UNESCO oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2008.

5.0 PELAKSANAAN PELESTARIAN

Setiba kami di sana, rombongan kami telah disambut oleh Pengerusi Masjid Jamek Batu Uban iaitu Sheikh Abdul Aziz. Kemudian, ketua kumpulan telah memperkenalkan ahli rombongan kepada pengerusi dan menyatakan tujuan kedatangan kami ke sana. Setelah itu, pengerusi masjid telah memberi penerangan secara ringkas tentang masjid tersebut dan membawa kami melawat di sekitar masjid tersebut.

Kemudian, ketua kumpulan dan pengerusi masjid mengenalpasti kawasan dan tugas-tugas yang perlu dilaksanakan. Seterusnya, ahli-ahli kumpulan dibahagikan mengikut tugas masing-masing. Antara tugas yang dilaksanakan ialah menyapu sampah, memvakum permaidani masjid, melipat sejadah dan memperkemaskan susun atur kedudukan sejadah di dalam masjid, serta mencabut rumput.

Tugas menyapu sampah yang meliputi perkarangan bahagian dalam masjid di kawasan yang bersimen telah dilakukan oleh saudari Norfadilah Bt. Abdul Rahman. Kemudian, tugas tersebut turut dibantu oleh saudari Nurul Ain yang menyapu di bahagian luar masjid atau beranda masjid.

Tugas memvakum permaidani pula dilakukan oleh saudari Nurul Ain Bt. Noral Azmi dan saudari Helen, di mana saudari Nurul Ain telah memulakan tugas tersebut dari sebelah kanan hingga ke bahagian tengah masjid, manakala saudari Helen pula bermula dari bahagian kiri ke bahagian tengah masjid. Tugas tersebut turut dibantu oleh saudara Azahari apabila kedua-dua daripada mereka agak kepenatan menyudahkan tugas tersebut.

Tugas melipat sejadah pula telah dilakukan oleh saudari Nurul Hidayah dan saudara Azahari. Tugas tersebut dilakukan di bahagian beranda masjid di mana sejadah tersebut digunakan oleh para jemaah yang menunaikan solat terawih pada malam sebelumnya. Memandangkan bilangan sejadah yang terdapat di situ agak banyak, maka ahli rombongan yang sudah siap melaksanakan tugas masing- masing turut sama membantu menyiapkan tugas tersebut. Sejadah yang telah siap dilipat dengan kemas, disimpan dan disusun atur di suatu sudut dalam masjid tersebut.

Akhir sekali, setelah memastikan tugas-tugas di dalam masjid selesai dilaksanakan, kami mengambil keputusan untuk membersihkan perkarangan luar masjid. Tugas yang dilakukan di bahagian luar masjid ialah mencabut rumput-rumput yang tumbuh meliar di kawasan persekitaran masjid tersebut. Tugas tersebut telah dilakukan secara bergotong-royong antara ahli rombongan. Tugas mencabut rumput tersebut dimulakan di bahagian depan masjid sehingga ke bahagian belakang masjid.

Keseluruhannya, aktiviti yang dijalankan memakan masa lebih kurang tiga jam yang berakhir pada pada pukul 12.00 tengah hari. Pihak masjid, melalui pengerusi amat berbesar hati atas kesudian pihak kami menjalankan aktiviti di masjid tersebut.

6.0 ASPEK-ASPEK KELESTARIAN BANGUNAN BERSEJARAH

Antara aspek-aspek kelestarian yang boleh ditekankan terhadap pengekalan bangunan bersejarah di Malaysia adalah seperti:

Pemuliharaan

Kamus Dwibahasa Oxford-Fajar (2004) mendefinisikan pemuliharaan sebagai kerja memulihara dalam bentuk yang sedia wujud. Keromo (2006) dan Othman (2006) mendefinisikan pemuliharaan sebagai kerja-kerja baik pulih yang mana cuba memulih semula monumen atau tapak tanah bersejarah kepada seni bina dan bahan-bahan binaan yang sehampir mungkin dengan yang asal semasa mula-mula dibina. Fielden (2000) pula berpendapat bahawa pemuliharaan ialah tindakan untuk mengelakkan kereputan. Ia perlu mengambil kira semua perilaku atau perbuatan yang boleh memanjangkan usia warisan budaya dan warisan semulajadi bagi membolehkan sesuatu objek itu dipersembahkan kepada mereka yang mengguna dan melihat bangunan warisan itu agar berasa kagum terhadap nilai artistik dan gambaran yang boleh mempengaruhi fikiran seseorang. Sehubungan dengan itu, pemuliharaan bolehlah disifatkan sebagai kerja-kerja baik pulih bangunan warisan dengan menggunakan kaedah mengekalkan seni bina dan bahan binaan yang sama atau hampir sama dengan bahan asal. Pemuliharaan adalah bertujuan untuk mengekalkan dan mengembalikan semula sesebuah bangunan warisan ke tahap yang paling hampir dengan binaan asal. Pemuliharaan adalah bertujuan untuk mengekalkan dan mengembalikan semula sesebuah bangunan warisan ke tahap yang paling hampir dengan binaan asal. Penekanan dalam kerja pemuliharaan bangunan warisan pula hendaklah diberikan terhadap beberapa aspek seperti:

  1. Seni bina iaitu rupa bentuk terawal atau mula-mula dibina
  2. Bahan binaan iaitu mengekalkan bahan binaan yang asal sama ada melalui peneguhan atau pembuatan semula
  3. Penggunaan seperti asal sesuatu bangunan sebagaimana ia mula dibina.

Menurut pemerhatian kami terhadap beberapa aktiviti pemuliharaan telah dilakukan di Masjid Jamek Batu Uban, antaranya adalah menaiktaraf dan membaiki bangunan masjid ini dimana ia telah diperbesarkan. Kerja-kerja penyelenggaraan turut dilakukan di kawasan telaga air yang teeletak bersebelahan dengan masjid tersebut. Dinding-dinding dan atap-atap masjid juga telah diubahsuai dan diselenggara namun ia masih mengekalkan reka bentuk seni beni yang asal iaitu seni bina Minangkabau. Ukiran-ukiran yang bercirikan seni bina Minangkabau telah dibuat pada bahagian bumbung dan tepi-tepi atap masjid. Kawasan perkuburan di belakang masjid ini juga turut dijaga dengan rapi dan keluasan kawasan perkuburan ini semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Pemeliharaan

Manakala aspek pemeliharaan bangunan bersejarah pula merujuk kepada bagaimana sesuatu bangunan bersejarah itu dipelihara dan dijaga bagi mengekalkan tradisi serta keunikannya. Bangunan bersejarah yang telah kami pilih iaitu Masjid Jamek Batu Uban boleh dikatakan dipelihara dalam keadaan yang baik walaupun terdapat beberapa perkara yang perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya. Aspek kebersihan amat diutamakan dan mereka telah mengagihkan tugasan secara bergilir-gilir untuk menjaga kebersihan di persekitaran bangunan Masjid Jamek Batu Uban ini. Selain itu, aktiviti gotong-royong juga akan dijalankan oleh penduduk setempat bagi membersihkan kawasan persekitaran masjid ini. Kawasan persekitaran di sekeliling bangunan ini juga dijaga dan dipelihara dengan baik di mana kebersihan persekitaran diberi keutamaan dan pokok-pokok bunga yang ditanam juga menambah keceriaan kawasan ini

6.1 CADANGAN KE ARAH USAHA UNTUK MELESTARIKAN BANGUNAN BERSEJARAH

Bagi melestarikan Masjid Jamek Batu Uban ini terdapat pelbagai cadangan dan langkah yang boleh digunakan. Antara langkah yang boleh digunakan ialah dengan mengadakan gotong-royong di persekitaran Masjid terutamanya di kawasan tanah perkuburan. Pihak yang boleh terlibat dalam gotong-royong tersebut termasuklah qariah masjid serta penduduk tempatan di sekitar perkampungan tersebut. Tujuan gotong-royong ini dilaksanakan agar kebersihan masjid terus terpelihara selaras dengan status antara masjid yang tertua di Pulau Pinang.

Cadangan seterusnya ialah mengekalkan struktur dan seni bina asal bangunan tersebut. Sebagai sebuah bangunan yang mempunyai nilai sejarah, bangunan tersebut tidak boleh diubah struktur seni bina asalnya dengan sesuka hati. Oleh yang demikian sekiranya ada sesetengah pihak ingin menambah dan membina bangunan yang baru, kami mencadangkan agar masjid batu uban ini masih mengekalkan struktur dan seni bina bangunan tersebut sebagai satu identiti warisan sejarah yang berharga. Secara tidak langsung keadaan ini dapat menunjukkan bahawa Masjid Jamek Batu Uban masih mengekalkan bangunan yang bercirikan sejarah.

Selain itu, langkah yang boleh dilestarikan ialah dari aspek keselamatan masjid itu sendiri. Daripada pemerhatian kami, terdapat banyak unsur-unsur keselamatan di masjid ini yang tidak dititikberatkan. Sebagai contohnya, terdapat tingkap dan beberapa aspek di bahagian bumbung yang kurang selamat. Oleh yang demikian, perhatian yang serius perlu diberikan dalam aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Konsep kelestarian yang ditekankan dalam projek PGT 224 tentang bangunan bersejarah (Masjid Jamek Batu Uban) seperti yang dinyatakan sebelum ini bukan sahaja melibatkan pemeliharaan dan pemuliharaan secara fizikal sahaja, malahan turut menfokuskan cara-cara untuk mempromosikan bangunan bersejarah tersebut kepada masyarakat umum. Bagi melaksanakan konsep kelestarian ini, kumpulan kami telah menggunakan kaedah penulisan blog sebagai salah satu cara bagi memperkenal dan mempromosikan bangunan bersejarah ini. Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat, penggunaan ’blog’ merupakan satu cara efektif dalam menyampaikan maklumat pada masa ini.

Blog telah pun lama bertapak di internet sebagai satu medium untuk seseorang individu atau organisasi itu untuk memaparkan penulisan yang berkisar tentang kisah hidup, luahan rasa, berita, catatan perjalanan/pengembaraan, mempromosikan produk/servis, resume dan seterusnya untuk suka-suka. Fungsi blog ini amat bersesuaian dengan konsep kelestarian bangunan bersejarah seperti Masjid Jamek Batu Uban untuk mempromosikan ke mata masyarakat bukan sahaja dalam negara bahkan di luar negara juga. Hal in kerana, pelawat mudah untuk mengakses maklumat dan memberi komen membina bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat akan kepentingan bangunan bersejarah. Di samping itu, turut juga memperkenalkan sejarah negara kepada masyarakat dunia.

KESIMPULAN

Berdasarkan kepada penyelidikan yang kami buat terhadap masjid ini, dapat dilihat pelbagai bentuk program ataupun aktiviti yang dibuat yang dapat menunjukkan adanya kesinambungan dan berterusan. Hal ini menunjukkan bahawa ahli jawatan kuasan masjid telah memainkan peranan yang penting dalam membantu menjayakan setiap program yang dibuat di masjid ini.. Masjid ini bukan hanya dijadikan tempat untuk beribadat semata-mata tetapi Masjid Jamek Batu Uban turut menjadikan masjid sebagai pusat pengembangan ilmu, penyebaran dakwah Islamiah di samping menjadi pusat kebajikan dan perpaduan umat islam setempat. Ini boleh di lihat melalui aktiviti-aktivit yang dijalankan seperti mengadakan Majlis Berbuka Puasa setiap kali bulan Ramadhan, mengadakan kelas membaca al-quran untuk golongan dewasa dan kanak-kanak, berdakwah dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti sebegini sangat bertepatan dengan tuntutan Rasulullah dan mengikut apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah yang menjadikan masjid sebagai tempat untuk beribadat dan sebagai tempat untuk berbincang dan bermuafakat. Hal ini dapat merapatkan lagi hubungan sillaturrahim antara manusia dalam menjalinkan hubungan sesama manusia dan warisan sejarah.

No comments:

Post a Comment